Pada pagi ini, bermula pukul 9.00 pagi, satu perjumpaan PIBG telah
diadakan di SMK Syed Hassan menemukan guru-guru kelas dan ibu bapa.
Perjumpaan pada kali ini adalah untuk membolehkan ibu bapa turut serta
dalam pengurusan kelas anak-anak mereka. Majlis dimulakan di dewan
sekolah dengan Puan Siti Esah sebagai pengerusi majlis. Ucapan dimulai
oleh Yang di-Pertua PIBG, Puan Azihani binti Dato' Ali. Beliau
menerangkan tujuan perjumpaan kali ini dan berharap ibu bapa dan
guru-guru dapat berganding bahu dalam menangani cabaran pembelajaran
pada masa kini. Antara cadangan yang diberikan ialah meningkatkan
keceriaan kelas bagi menghasilkan satu suasana pembelajaran yang
selesa. Tuan pengetua pula dalam ucapan beliau melahirkan rasa terharu
atas inisiatif PIBG untuk merapatkan jurang perhubungan antara ibu bapa
dan guru-guru, rumah dan sekolah. Beliau mengucapkan tahniah di atas
idea dan usaha PIBG dalam membantu meningkatkan pencapaian sekolah.
Turut dilaporkan ialah kejayaan-kejayaan semasa sekolah dalam sukan dan
akademik. Sesi seterusnya ialah soal jawab antara ibu bapa dan pihak
pentadbiran sekolah. Beberapa orang ibu bapa memberikan pandangan,
cadangan dan mengemukakan beberapa kemusykilan yang terbuku di hati.
Selepas mengambil makanan, ibu bapa terus bergerak ke kelas untuk
melihat sendiri keadaan kelas anak-anak mereka dan berbincang dengan
guru kelas untuk kebaikan bersama. Ibu-bapa juga menanyakan keadaan
anak-anak mereka di sekolah disamping menubuhkan jawatankuasa untuk
bersama-sama membantu guru kelas. Majlis tamat pada pukul 12.00
tengahari.